PENGENALAN MUSHAF AL-QUR'AN
Usaha penghasilan manuskrip mushaf ini dilaksanakan sepenuhnya oleh Yayasan Restu, sebuah organisasi bukan kerajaan dan tidak berorientasikan keuntungan serta pendokong Projek al-Qur'an Mushaf Malaysia. Ini bagi menghasilkan sebuah lagi manuskrip al-Qur'an beriluminasi penuh yang menekankan aspek estetik dalam konteks seni khat dan zukhruf yang terhasil daripada seni Islam yang luhur. Namun, yang lebih utama daripada itu adalah menzahirkan keinginan yang kuat untuk menegakkan agama yang syumul melalui usaha membudayakan masyarakat dengan al-Qur'an.
Manuskrip ini disalin tangan oleh penulis khat Yayasan Restu seramai 5 orang semenjak tahun 2015 dan disiapkan pada tahun 2019. Teks al-Qur'an ini merupakan teks al-Qur'an yang terbaru daripada 10 manuskrip al-Qur'an salinan tangan yang dihasilkan oleh Yayasan Restu. Usaha penyalinan mushaf ini dinamakan projek Mushaf Razzaq. Buat julung kalinya, al-Qur'an yang menampilkan tulisan atau teks al-Qur'an yang lebih tebal, jelas dan mudah dibaca.
1. Keistimewaan Teks al-Qur'an:
Selain itu teks al-Qur'an ini menampilkan beberapa ciri keistimewaan yang lain:
• Mengikut format mushaf cetakan kompleks Percetakan al-Qur'an Raja Fahd, Madinah al Munawwarah iaitu sama dari segi kedudukan muka surat dan bilangan baris (15 baris).
• Mengikut kaedah Rasm 'Uthmani.
• Mengikut riwayat Hafs daripada 'Asim.
• Penulisan huruf jelas, tidak terlalu padat dan tiada huruf bertindih di dalam susunan serta setiap huruf menggunakan satu gaya penulisan. Tujuannya adalah memudahkan para pembaca.
2. Ragam Seni Visual
Identiti Yayasan Restu terletak pada zukhrufnya. Begitu juga dalam mushaf ini, ditampilkan ragam seni visual Malaysia dengan cetakan empat warna sebagaimana penerbitan Al-Qur'an Mushaf Malaysia Ma'arij al-Jamal (cetakan awam tahun 2000), Al-Qur'an Mushaf Malaysia Taba'ah 'Ain Taqwa (cetakan koleksi tahun 2003). Al-Qur'an Mushaf Malaysia Terjemahan (tahun 2005), serta siri penerbitan mushaf yang lain. Ragam seni visual ini diaplikasikan dengan motif dan zukhruf yang diambil daripada pelbagai sumber bercirikan Islam. Setiap juzuk ditampilkan dengan ragam hias yang berbeza dan menekankan alam sejagat.